Saturday 17 September 2011

Mohon Maaf, Bayar Pampasan dan Tutup Kem Kemunting-Kp Pusat

Jumaat, 16 September 2011 16:11 Nasrudin Hassan 

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia
18 Syawal 1432 / 16 September 2011
Mohon Maaf, Bayar Pampasan dan Tutup Kem Kemunting.
Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Mengasihani. Setelah sekian lama PAS berjuang dan kini bersama Pakatan Rakyat, menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pemerintahan negara terutama tuntutan supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA], kini hampir menjadi kenyataan setelah ramai pimpinan PAS dan aktivisnya terpaksa merengkok dalam tahanan kejam tanpa bicara itu, semata - mata kerana persaingan politik yang tidak matang.

Saya tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah mengisytiharkan komitmennya untuk memansuhkan ISA sebentar tadi, biarpun UMNO dan BN telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami betapa kejam dan zalimnya undang - undang ISA ini ke atas makhluk yang bergelar insan. Sementara PAS telah menentang ISA sejak hari pertama ia dibentang dan diluluskan di Parlimen justeru ia bertentangan dengan semangat keadilan yang dianjurkan oleh syariat Islam.

Sejurus mendengar pengisytiharan Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ini, hampir mengalir air mata saya mengenang penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh bekas tahanan ISA sebelum ini. Alangkah jika ISA dimansuhkan sejak komunis menyerah diri dan membubarkan parti serta perjuangan mereka tempoh silam. Pastinya mereka tidak perlu menderita dan sengsara hanya kerana dendam politik sang pemerintah.

Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mesti mengotakan komitmennya dengan membentangkan secara rasmi Kertas pemansuhan ISA ini di dalam Parlimen yang akan bersidang awal bulan depan dan disokong pula oleh keseluruhan Ahli Parlimen UMNO dan BN sekaligus mengusulkan penutupan Kem Kemunting dengan membawa semua tahanan yang masih ada kemuka pengadilan untuk diadili mengikut proses undang - undang negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan Kerajaan UMNO dan BN pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak juga mestilah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada semua mangsa - mangsa tahanan ISA dan keluarga mereka yang terpaksa mengalami penderitaan dan trauma yang teruk akibat akta draconian ini.[ISA]

Alhamdulillah, Sekali lagi saya lafazkan rasa syukur kepada Allah swt. berikutan komitmen yang diberi oleh YAB Perdana Menteri untuk turut mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Subjek yang diumum dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan jurus - jurus kecil dari pelan induk Reformasi yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat khasnya melalui Buku Jingganya sebelum ini. Demikian juga apa yang ditawarkan oleh PAS menerusi Dokumen Negara Berkebajikan. Tidak mengapalah siapa pun yang melaksanakannya asal ia membawa kebaikan kepada rakyat. Namun Kerajaan UMNO dan BN mesti sedar dan insaf, bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu direformasikan secara menyeluruh. Tidak memadai YAB Perdana Menteri pancing sokongan pengundi dengan hanya membuat beberapa perubahan atau pindaan yang bersifat jurus - jurus kecil sedang masaalah pokok masih tergantung diawangan.

Masaalah pokok yang saya maksudkan di sini ialah pemulihan sistem demokrasi yang adil dan ketelusan sistem pengurusan pilihanraya . Tiada erti perubahan itu dilakukan sedang hak pengundi untuk mengundi secara adil, telus dan saksama ternafi atau dinafikan dengan pincangnya sistem demokrasi dan selewengnya pengurusan pilihanraya.
Hari ini, negara masih berdepan dengan pelbagai bentuk kekeliruan dan keraguan yang timbul dari daftar pemilih, corak pengendalian pilihanraya, identiti pengundi, mykad palsu, pengundi klon dan undi pos sebagaimana yang didedahkan oleh DPP Malaysia, malah ianya masih gagal dijawab dengan jawapan yang meyakinkan oleh pengendali pilihanraya iaitu SPR mahupun kerajaan sendiri.

Ketelusan sistem pengurusan pilihanraya menjadi perkara terpenting setelah dilihat kepada usaha YAB Perdana Menteri cuba melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mahu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila dilihat program dan subjeknya serupa, maka rakyat perlu kepada keadilan dan ketelusan untuk memilih siapakah yang lebih layak untuk menjadi kerajaan atau pemimpin bagi melaksanakan program reformasi negara tersebut.

Apa yang pasti, kini Pakatan Rakyat telah dilihat mampu memimpin dan memerintah. Tiada siapa boleh menafikannya lagi setelah banyak idea dan program reformasi negara yang dicadang oleh Pakatan Rakyat kini dilaksanakan oleh kerajaan UMNO dan BN.

Saya sendiri bertambah yakin. Bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil alih teraju kepimpinan negara, kerana rakyat kini beralih perhatian untuk memilih siapa yang paling layak memimpin dan memerintah setelah dilihat idea dan program perubahan hampir serupa dari kedua - dua parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah rakyat tahu siapa yang menggerakkan program dan idea perubahan tersebut.

Ertinya selepas ini nilai integriti, akhlak pemimpin, kecerdasan dan karisma kepimpinan akan menjadi nilai fokus pada pengundi untuk diberi mandat kepimpinan negara, kerana tiada erti diserahkan urusan pemerintahan kepada manusia yang rosak nilai integriti, rasuah dan tidak diyakini kewibawaannya. Justeru itu, berikan ruang secukup dan seadilnya untuk rakyat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan dan ugutan jua tanpa sebarang manipulasi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya, pengumuman YAB Perdana Menteri malam ini adalah isyarat gendang tari pilihanraya telah dipalu. Pemuda PAS secara asasnya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya di adakan pada bila - bila masa secara spiritual, mental, material dan fizikal. Pembentangan belanjawan pada bulan hadapan juga pastinya akan dijadikan belanjawan pilihanraya seperti lazimnya dan akan banyaklah tawaran - tawaran dikemukakan kepada rakyat terutama rakyat marhaen dan menengah.

Kini DPP Malaysia telah memasuki gear lima untuk terus meluncur dengan persiapan dan gerakkerjanya ke arah memenangi pilihanraya umum ke 13 insyaallah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Wednesday 14 September 2011

Himpunan Sejuta Ummah Selamatkan Aqidah

Khamis, 15 September 2011 08:39 Nasrudin Hassan
Menyedari keadaan ummat Islam yang kini semakin dilingkari oleh persekitaran yang mengundang ancaman kepada aqidah mereka, pula keadaan ummat Islam yang sering disogok dengan aktiviti yang meletakkan mereka leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap Tuhan yang mencipta mereka. Leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap masyarakat dan negara, DPP Malaysia akan bangkit bersama Ngo - Ngo Muslim untuk menggerakkan kebangkitan Ummat Islam di negara ini agar peka terhadap tanggungjawab mereka mempertahankan aqidah dan memperjuangkan kesuciannya.
Ummat Islam seperti dibiarkan hanyut mengikut arus jahiliah moden yang melanda negara hari ini. Mereka dibiarkan jahil terhadap agama yang mereka anut tanpa sebarang tindakan yang efektif untuk memantapkan kefahaman dan aqidah sebaliknya aktiviti yang berpotensi meracuni pemikiran dan merosakkan aqidah ummat Islam semakin subur dan marak.
Melalui industri filem yang semakin mempopularkan amalan khurafat, tahyul, pergaulan bebas dan sindiran tajam kepada golongan yang komited dengan agama, kini aktiviti dan kenyataan yang mengguris hati dan nurani ummat Islam itu melarat pula ke laman sosial seperti facebook dan twitter tanpa sebarang sekatan.
Isu " Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara" yang telah menghina Islam secara terbuka melalui laman web, facebook dan twitternya seperti mendapat restu dari pihak berkuasa agama apabila tiada satu pun tindakan berkesan diambil. Sungguhpun beberapa kali desakan telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mahupun Ngo - Ngo muslim termasuk kumpulan Jingga 13.
Sebelum ini DPP Malaysia telah memberikan had tempoh 10 hari untuk pihak berkuasa agama bertindak setelah isu ini terlalu lama dibiarkan berlarutan. Jika tidak, DPP Malaysia tidak teragak- agak untuk bangkit bersama dengan ngo - ngo muslim dan seluruh rakyat prihatin menggerakkan "Himpunan Sejuta Ummah" bagi menentang apa jua usaha, kenyataan dan perlakuan yang cuba meruntuhkan aqidah ummah dan mempersendakan ajaran Islam yang suci ini.
Dakyah golongan tertentu melalui pelbagai agensi dan elemen, yang dilihat cuba mempengaruhi pemikiran dan keyakinan [aqidah] ummat Islam juga giat dirancang dan berjalan dalam negara kita. Sementara keadaan ummat Islam yang semakin jauh dari suasana [bia'h] hidup beragama turut mengundang kepada gejala keruntuhan akhlak dan aqidah.
Mutaakhir ini, negara juga menyaksikan terlalu banyak ideologi ciptaan manusia disogok dan dipaksa kepada ummat Islam supaya mereka menerima dan menganutnya. Begitu juga ajaran - ajaran sesat semakin berkembang dengan berselindung disebalik pelbagai aktiviti sosial malah mereka seperti mendapat "lesen" untuk beroperasi secara terang - terangan. Termasuklah penularan fahaman syiah yang semakin membimbangkan masyarakat Islam dalam negara ini.
Ummat Islam tiada pilihan dan mereka mesti bangkit. Mereka perlu disedarkan segera dari lena yang panjang dan alpa yang mengasyikkan. Justeru itu Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi sokongan 200% kepada usaha ngo - ngo Islam bagi menjayakan "Himpunan Sejuta Ummah" di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 kelak sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid semalam.
Objektif gerakan ini sangat murni dan sayugianya tiada siapa dari kalangan ummat Islam yang prejudis terhadap "Himpunan Sejuta Ummah" yang akan membangkitkan kesedaran Ummat Islam dari seluruh negara. Mudah - mudahan mereka memahami amanah dan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim yang tidak boleh membiarkan diri mereka dipersenda dan agama mereka dihina.
Insyaallah, bertepatan pula dengan resolusi Sidang Meja Bulat Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama 14 Ngo - ngo Islam di Shah Alam tempohari, DPP Malaysia akan menggerakkan seluruh kekuatan pemuda - pemuda Islam negara ini untuk bangkit mempertahankan aqidah, akhlak dan fikrah ummah agar Islam kembali tegak dan dihormati sebagai agama yang membawa rahmat [kasih simpati], a'dalah [keadilan] dan barakah [kebaikan yang melimpah ruah] dari Tuhan Sang Pencipta.
Himpunan dan kebangkitan ini tidak perlu dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat non muslim sebaliknya Himpunan dan Kebangkitan ini adalah berobjektifkan untuk memperkasa aqidah ummat Islam dan menentang elemen penghinaan terhadap agama Islam. Justeru Islam adalah agama yang sangat menghormati dan menjaga hak - hak non muslim dan ia adalah agama yang sangat toleransi terhadap agama - agama lain.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Munajat perdana sempena 60 tahun PAS

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Sambutan 60 tahun PAS yang bakal diadakan pada 30 September sehingga 1 Oktober ini di Dewan Milenium, Kepala Batas akan dimulakan dengan munajat perdana.

“Dalam situasi PAS berhadapan dengam pelbagai tekanan dan fitnah kini, sambutan 60 tahun PAS ini akan dimulakan dengan munajat perdana pada malam 30 September.

"Munajat ini dijangka akan dihadiri oleh sepuluh ribu orang terdiri dari pimpinan utama negeri-negeri, ahli dan penyokong PAS serta pimpinan Pakatan Rakyat. Munajat ini turut akan membariskan kepimpinan utama parti dari Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, dan seluruh kepimpinan utama PAS Pusat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa sambutan 60 tahun PAS akan mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti terhadap usaha gigih pejuang-pejuang lampau dalam mengharungi pelbagai suka duka, tekanan, penindasan dan pelbagai mehnah selama 60 tahun PAS di persada tanahair.

Menurut beliau, sejarah jatuh bangun PAS selalu berhadapan dengan golongan yang menolak gagasan Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap kerana fahaman sekularisme yang menebal.

“Semua tekanan dan penindasan in berterusan sehingga kini. Ketabahan pimpinan lampau dengan penuh kesabaran mendidik masyarakat memahami tuntutan menegakkan Islam dan penghayatan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya seluruh sistem Islam adalah mujahadah yang besar, yang perlu dihayati, difahami dan dihargai oleh generasi baru,” kata beliau.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut memaklumkan sambutan 60 tahun PAS akan dimeriahkan lagi oleh pameran dari negeri-negeri, tayangan video kejayaan negeri Pakatan Rakyat serta gerai-gerai pameran dan perdagangan.

Pelbagai aktiviti dari dewan-dewan, katanya akan turut diadakan melibatkan persembahan, sukaneka dan pelbagai anugerah kejayaan PAS di seluruh negara.

“Kemuncak program ialah ceramah perdana melibatkan pimpinan tertinggi parti dan pelancaran jentera pilihanraya seluruh negara. Diharapkan pelancaran ini akan menyemarakkan semangat bekerja seluruh petugas parti bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13,” tambah beliau lagi.

Saturday 10 September 2011

Ulamak Pelapis PAS : Ulamak Muda UMNO Akui Terus Dipinggirkan

Kuala Lumpur, 2 September 2011 - Kenyataan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, AJK Biro Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU) dalam wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam baru-baru ini bahawa UMNO tidak mempunyai badan tertentu yang mengenengahkan suara Ulamak menyerlahkan lagi bahawa golongan itu dipinggirkan dalam parti tersebut. Biro agama UMNO yang wujud sekarang ini hanyalah untuk melaksanakan aktiviti keagamaan dalam UMNO.
Kenyataan ini selari dengan kenyataan Ustaz Ahmad Tajuddin Idris, ketua ILMU dalam artikelnya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2011 bahawa UMNO seolah-olah tidak dipacu oleh Ulamak.
Kedua-dua kenyataan ini tidak menjadi perkara yang pelik kerana umum mengetahui bahawa perjuangan UMNO bukan berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Golongan yang layak untuk merujuk dua sumber ini adalah para Ulamak. Jika mereka menolak kedua-dua sumber ini maka mereka dengan sendirinya menolak Ulamak.
Apa yang menjadi kepelikan sebenarnya ialah bagaimana mereka boleh terus kekal berada di dalam UMNO sedangkan mereka mengetahui suara mereka tidak didengari.
Hujjah yang dikemukakan oleh Ustaz Fathul Bari dalam wacana tersebut bahawa mereka akan terus menegur parti pemerintah dan memerlukan kesabaran dalam usaha tersebut dilihat terlalu rapuh.
Ini adalah kerana keberadaan mereka dalam UMNO lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan dan membawa fitnah kepada perjuangan untuk menegakkan agama. Rakyat akan berfikir bahawa UMNO adalah betul dan benar kerana didokongi oleh Ulamak sedangkan hakikatnya perjuangannya tidak berteraskan Islam. Mereka akan berhujjah bahawa jika UMNO salah maka kenapa ada Ulamak di dalamnya. Itulah sebenarnya tujuan UMNO menerima kemasukan para Ulamak dalam partinya agar dilihat Islamik sedangkan mereka pada hakikatnya meminggirkan Ulamak sebagaimana diakui sendiri oleh Ulamak Muda UMNO ini.
Ulamak tidak boleh menjadi umpama peribahasa Melayu; bagaikan anjing menyalak bukit. Kesabaran sememangnya dituntut dalam Islam tetapi tidak ada gunanya kesabaran tersebut jikalau kita menjadi umpama anjing yang terus sabar menyalak bukit yang diketahui tidak mempunyai faedah. Ulamak dalam UMNO perlu bijak memilih medium untuk berdakwah supaya akhirnya tidak menjadi alat kepada UMNO bagi mengekalkan kuasa.
Hujjah untuk 'membersih daripada dalam' adalah bertentangan dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang melarang ummatnya bersama dengan jamaah atau kumpulan yang menolak Islam sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
Huzaifah bin Al-Yaman berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan terdapat golongan penyeru di pintu neraka. Sesiapa yang menyahut mereka akan dicampakkan ke dalamnya." Aku berkata: "Beritahu kepada kami sifat mereka wahai Rasulullah." Nabi bersabda: "Mereka adalah kaum daripada kulit kita dan bercakap dengan lidah kita." Aku bertanya: "Apa yang engkau akan suruh aku jika aku menemui golongan ini?" Nabi bersabda: "Lazimilah jamaah muslimin dan pemimpin-pemimpin mereka. Jika mereka tidak mempunyai jamaah dan pemimpin maka pisahkan diri kamu daripada kumpulan-kumpulan tersebut kesemuanya walaupun kamu terpaksa memakan akar kayu sehinggalah engkau mati dan kamu berada dalam keadaan demikian. (Riwayat Ibnu Majah).

Kenapa Kita Sambut Hari Kemerdekaan Kalau Tidak Dijajah?

Kuala Lumpur, 9 Sep 2011 - Setiausaha Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya menegaskan bahawa rakyat Malaysia hendaklah diberikan kebebasan untuk menilai semula sejarah kemerdekaan negara ini dengan dibekalkan dengan maklumat yang tepat dan betul tanpa ‘saringan’ daripada pihak-pihak tertentu yang berkepentingan yang menangguk di air yang keruh daripada isu kemerdekaan ini.
Pada hari semalam Malaysiakini melaporkan seorang professor telah mendakwa tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
“Kalau betul kita tidak pernah terjajah selama ini, kenapa pula kita menyambut Hari Kemerdekaan setiap tahun? Adakah rakyat Malaysia tertipu lagi dengan sejarah kita?” kata beliau ketika dihubungi oleh pihak web DUPP.
“Pas InsyaAllah akan terus membongkar kebenaran disebalik sejarah yang berlaku di negara kita, kita percaya perjuangan Islam di Tanah Melayu akan terus menyerlahkan kebenarannya kepada seluruh rakyat Malaysia” Ujar beliau lagi yang juga merangkap ahli jawatankuasa Ulamak Pelapis Pas Pusat

Lynas : Suatu Sikap diantara Pandangan Pakar dan Rakyat-kenyataan dr KP Pusat

Sabtu, 27 Ogos 2011 12:55 Nasrudin Hassan

Langkah terbaiknya, saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, mewakili seluruh warga pemuda PAS menggesa agar kerajaan Malaysia mengarahkan agar Kilang Lynas Corporation menghentikan terlebih dahulu sebarang bentuk operasi pembinaan dan operasi penghasilannya sementara memberi laluan kepada semua pakar berbincang dan mengkaji. Bukan hanya melibatkan pakar nuklear, tetapi juga pakar racun, pakar alam sekitar, pakar kesihatan, pakar ekonomi, pakar undang - undang dan lain - lain pakar yang berkaitan termasuk pakar politik serta pemantau bebas antarabangsa.

PAS sememangnya berbangga mempunyai ramai pakar saintis seperti Dr Che Rosli, Dr Zulkifli Ahmad dan lain - lainnya. Malah mereka adalah sebahagian dari pemimpin PAS yang berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Selain daripada sikap PAS yang selama - lamanya menghargai dan menghormati ilmu serta kepakaran seseorang tokoh yang diiktiraf, penglibatan mereka bersama PAS juga satu penghargaan besar kepada PAS setelah sekian lama PAS dimomokkan sebagai parti kampung, parti tok lebai, parti kain pelikat dan sebagainya.

Ertinya kini PAS tidak lagi parti pinggiran atau kampungan yang hanya menjadi mangsa belasahan UMNO dan BN sebagaimana dulu. PAS juga bukan hanya sebuah parti yang hitung tindaknya berasaskan millage politik semata - mata tetapi kini PAS juga boleh menjadi wadah cendikiawan, sasterawan, budayawan, hartawan dan agamawan yang sememangnya menjadi pahlawan yang berjuang mendokong dasar dan prinsip perjuangan PAS iaitu Islam.

Apabila PAS menjadi wadah yang besar dan lebar, lalu berlakunya perbedaan pendapat adalah suatu yang lumrah malah menonjolkan kehebatan PAS dalam menangani dan mendepani sesuatu isu atau kes. Kini PAS bukan lagi sebuah jamaah kecil yang dinding pagarnya laksana sebuah surau atau musolla dengan seluruh anggota jamaahnya berpada dengan bimbingan seorang syeikh atau muallim pula berpaut pada satu mazhab [aliran pemikiran].

Sebaliknya PAS kini adalah platform ummah yang batu sempadannya laksana sebuah negeri atau negara dengan seluruh anggota jamaahnya memerlukan ramai mujtahid, mufakkir dan muallim dengan mengenengahkan sekurang - kurang 4 mazhab utama ahli sunnah wal jamaah sebagai landasan beramal dan bertindak. Justeru satu mazhab akan menyulitkan perlaksanaan Islam di peringkat agenda nasional dalam zaman yang serba rencam dan kompleks masaalahnya kini. [ mungkin pada peringkat individu, tidak mengapa berpaut kejap pada satu mazhab]

Sungguhpun begitu, uniknya Islam sekalipun ia adalah sebuah Manhaj Kehidupan yang besar dan terbuka, Islam diperkaya dengan disiplin dan akhlak yang tinggi serta peraturan yang lengkap dan sempurna. Biarpun Islam dilihat terlalu banyak perbedaan pandangan pada segala masaalahnya seperti fekah namun perbedaan itu diurus dengan baik, teliti dan disiplin menepati prinsip dan kaedah ilmu.

Kini PAS mula merasai dan meluruti keunikan itu. Saya harap semua pimpinan, ahli dan penyokong malah pemerhati dari kalangan rakyat terbanyak, dapat bersabar menekuni perkembangan ini tanpa mewajarkan diri keluar atau terhindar dari garis akhlak dan disiplin ilmu.

Sungguhpun kesilapan boleh berlaku pada bila - bila masa dan pada sesiapa jua atas sifat kita bukanlah insan yang maksum dan sempurna dalam segala aspek, namun saya tegaskan sekali lagi [kalau berlaku kesilapan], agar kesilapan itu tidak mewajarkan kita bergelut dan berpolemik sesama sendiri, apalagi untuk lari dari manhaj perjuangan Islam yang kita dokong bersama. Min baabil Aula [terlebih layaklah] kalau kita sememangnya tidak silap.

Kembali kepada isu Lynas yang hangat diperbahaskan mutaakhir ini, Dr Che Rosli tampil menyatakan pandangannya yang sangat berbeza dengan pandangan dan perjuangan rakyat di Kuantan khasnya di Pahang amnya. Malah berbeza sekali dengan pandangan PAS Pusat yang terlebih dahulu telah mengambil keputusan untuk bersama rakyat Pahang khasnya dan rakyat seluruh negara amnya, menolak operasi Lynas di Gebeng Pahang.

[ Hujjah kenapa rakyat menolak Lynas telah dikemukakan secara rasmi oleh Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat Sdr Zulkifli Mohamad Omar, juga kenyataan rasmi dari Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan boleh ikuti hujjah lebih jelas dari buku khas "Lynas @ Gebeng Kenapa Kami Bantah ?" yang telah diterbitkan oleh Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR]. ~ sebagaimana pandangan berbeza pula dikeluarkan oleh Dr Che Rusli melalui wawancara beliau dengan TV 3 baru - baru ini ]

Saya menghormati pandangan Dr Che Rusli sebagai seorang pakar dan bercakap pula berasaskan ilmu serta kepakaran bidang yang beliau miliki. Bertambah bangga saya, apabila beliau adalah ahli dan pimpinan PAS. Walaupun beliau mengemuka pandangan berbeza, berbeza dengan PAS Pusat, berbeza dengan rakyat Pahang dan berbeza dengan saya, tapi saya lihat tiada cacat celanya dan tidak perlu pula dikata nista kepada beliau selama beliau bercakap dan memberi pandangan berasaskan ilmu yang beliau miliki. Kita sewajarnya menghormati ilmu beliau. Jangan bergaduh dengan beliau dan sabarlah dengan perbezaan ini serta bertindaklah sebaik mungkin.

Pandangan berbeza ini insyaallah akan membuka lebih lebar ruang perbahasan, lebih mendalam perbincangan dan lebih detail atau jelas butir perdebatan. Ia akan menjadi ilmu kepada masyarakat untuk lebih nampak dan jelas secara sentimen dan secara saintifik betapa Lynas adalah sebuah industri yang boleh diterima atau mesti ditolak.

Harapan saya selepas ini , akan terungkaplah segala keraguan. Setelah seorang Pakar mengemukakan pandangan beliau yang dilihat sebagai menyongsang arus, maka saya juga yakin, skuad Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR] akan melipat gandakan pengumpulan maklumat, bahan bukti serta fakta kes bagi menjelaskan lagi kedudukan Lynas Corporation ini.

Ertinya selepas ini ia akan menjadi perbahasan yang lebih ilmiah bukan lagi sentimen sebagaimana yang dimomokkan sebelum ini. Saya kira selepas ini akan banyak pihak sedia menganjurkan seminar di peringkat nasional dengan menampilkan pakar mewakili pihak masing - masing. Barangkali Sinar Harian akan menjadikan tapak Karangkrafnya sebagai medan perdebatan para pakar ini. Kiranya tiada, Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi sedia untuk menjadi penganjur kepada perdebatan dan perbahasan ilmiah ini.

Tapi ingat ! jangan ambil masa terlalu lama untuk memperbahaskan perkara ini, kerana saya bimbang kalau keputusannya kelak, selepas meneliti perbahasan demi perbahasan pakar, akhirnya merumuskan Lynas mesti ditolak, sedang Lynas telah beroperasi, maka rakyat sekali lagi menjadi mangsa dam keadaan mereka tidak ubah seperti tikus makmal.

Langkah terbaiknya, saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, mewakili seluruh warga pemuda PAS menggesa agar kerajaan Malaysia mengarahkan agar Kilang Lynas Corporation menghentikan terlebih dahulu sebarang bentuk operasi pembinaan dan operasi penghasilannya sementara memberi laluan kepada semua pakar berbincang dan mengkaji. Bukan hanya melibatkan pakar nuklear, tetapi juga pakar racun, pakar alam sekitar, pakar kesihatan, pakar ekonomi, pakar undang - undang dan lain - lain pakar yang berkaitan termasuk pakar politik serta pemantau bebas antarabangsa.

Sejurus selesai ummat Islam menyambut Aidil Fitri, Insyaallah saya akan berbincang dengan Jabatan Undang - Undang dan Hak Asasi Manusia [JUHAM] DPP Malaysia, kemungkinan untuk berusaha mendapatkan arahan mahkamah agar Kilang Lynas yang penuh dengan kontraversi ini ditangguhkan operasinya sehingga jelas kedudukannya di mata rakyat. Agar negara tidak memperjudikan masa depan rakyat sendiri. Apakah kilang ini selamat atau bahaya !

Saya yakin dan percaya, bagi pihak BADAR telah muktamad menolak Lynas sebagaimana saya juga salah seorang yang tinggal di kawasan padat penduduk tidak melebihi 30 KM dari Kilang Lynas ini, telah mengambil keputusan muktamad bahawa kilang ini wajar dihenti dan mesti ditutup segera.

Tapi nampaknya sebahagian rakyat masih belum memahaminya, belum menerima mesej yang jelas dan belum mendapat maklumat yang tepat dari pihak BADAR. Tambahan pula ada pandangan pakar yang berbeza. Maka adilnya untuk rakyat umum, mereka mesti didedahkan maklumat dari kedua belah pihak terutama kepada rakyat tempatan yang tingal dalam lingkaran 30 kilometer persegi dengan Kilang Lynas ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Penjelasan Lim Guan Eng terhadap Bil Mat Sabu

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam berkata, terdapat dua resit yang dikeluarkan oleh Hospital KPJ Selangor untuk bayaran rawatan pembedahan lutut Mohamad yang cedera dirempuh kereta polis semasa dalam perjalanan menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

 Kedua-duanya adalah resit kos hospitaliti dan satu lagi resit kos konsultansi yang masing masing berjumlah RM5,060.54 dan RM3,373.50.

 Sehubungan itu jumlah keseluruhan kos perubatan Mohamad yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang adalah berjumlah RM8,434.05 yang sepenuhnya ditanggung PBA.

 Bagaimanapun ujarnya, hanya satu resit didedahkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican manakala satu lagi seperti sengaja disembunyikan.

 “Inilah keprihatinan kami (PBA), inilah ‘manfaat perubatan’, ini adalah keputusan korporat.

 “Sesetengah syarikat korporat ada yang menghantar ahli lembaganya pergi bercuti, tetapi ini tidak berlaku (dalam PBA),” ujar beliau.

 Dengan hanya mendedahkan resit kos hospitaliti berjumlah RM5,060.54, mereka juga mendakwa berlaku penyelewengan pembayaran itu kerana jumlah bayaran yang dibuat PBA lebih tinggi iaitu berjumlah RM8,434.05.

 Padahal terdapat satu lagi resit kos konsultansi berjumlah RM3,373.50 yang tidak didedahkan.

Konvensyen bukti PAS sedia hadapi PRU-13

GOMBAK, 10 Sept: PAS tidak gentar untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa meskipun sedar Umno BN sedang rancak melakukan penipuan.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN tidak akan dapat menutup penipuan mereka dalam sistem pilihan raya khususnya isu daftar pemilih dalam keadaan dunia yang serba canggih ini.
"PAS anjur konvensyen negara berkebajikan yang merupakan tema muktamar untuk dipanjangkan bagi menghadapi pilihan raya umum.
"Ini menunjukkan PAS bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum walaupun kita dibayangi maklumat yang mendukacitakan di mana perancangan untuk penipuan yang lebih besar dilakukan dalam pilihan raya umum.
"Zaman ini zaman internet dan kita dapat kesan penipuan ini dan mereka (Umno BN) nak tutup cepat-cepat jadi tapi jangan nak tipu kita dah dapat maklumat," kata beliau pada sidang media di sini.
Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen Negara Berkebajikan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, dekat sini hari ini.
Beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, Umno BN sengaja membangkitkan isu-isu yang dapat menimbulkan kemarahan rakyat sekaligus membuatkan mereka lupa kepada usaha membersihkan sistem demokrasi di negara ini.
"Mereka (Umno BN) nak tutup isu penipuan pilihan raya dengan isu-isu yang sengaja dibangkitkan untuk menggelegakkan perasaan rakyat supaya lupa isu sebenar iaitu untuk menghidupkan dan memulihkan proses demokrasi," kata beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan Umno BN agar tidak terus memperbodoh rakyat dengan menutup segala maklumat yang benar sebaliknya menunjukkan kesungguhan mereka untuk menghidupkan amalan demokrasi bersih.
"PAS menasihatkan kerajaan jangan menggunakan gula-gula sementara kepada rakyat untuk menghentikan tangisan. Bila habis gula-gula, dia tipu lagi,lepas itu sambung lagi, tak selesai masalah.
"Oleh itu kerajaan mesti sungguh-sungguh menyelamatkan negara dengan menghidupkan demokrasi sebenar dan PAS sungguh-sungguh nak masuk pilihan raya," tegasnya.
Justeru katanya, konvensyen hari ini bagi menggerakkan jentera parti khususnya penerangan parti untuk menyalurkan maklumat mengenai negara berkebajikan kepada rakyat.
"PAS gerakkan jentera parti di seluruh negara pada hari ini supaya membawa mesej konsep negara berkebajikan yang kita nak kenalkan kepada rakyat yang diselaraskan bersama Pakatan Rakyat.
"PAS sudah perkenalkan dalam manifesto pilihan raya ke arah negara berkebajikan dan kita memaklumatkan kepada jentera parti melalui konvensyen supaya jentera parti dapat memahami hasrat negara kebajikan supaya dapat disampaikan kepada rakyat," katanya.
Konvensyen anjuran Lajnah Penerangan PAS ini melibatkan seluruh jentera penerangan dari setiap negeri.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa

KENYATAAN MEDIA Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) P.Pinang

Isu Tuntutan Perubatan PBA oleh Md Sabu.
1- Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) P.Pinang mengucapkan ribuan terima kasih kpd Pemuda UMNO P.Pinang yg mutakhir ini begitu prihatin & peka terhadap perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri P.Pinang.
2- Begitu 'peka & prihatin' Pemuda UMNO P.Pinang dgn isu ini apabila dikatakan menyembunyikan resit tuntutan perubatan 'Kos Konsultasi' berjumlah RM3,373.50 & hanya mengemukakan 1 resit shj iaitu 'Kos Hospitaliti' berjumlah RM5,060.54.
Jika benar pihak Pemuda UMNO P.Pinang sengaja menyembunyikan resit tersebut, ianya tidak lain adalah semata-mata bertujuan untuk menyerang dalam bentuk fitnah terhadap PBA khususnya Kerajaan Negeri P.Pinang seolah-olah berlakunya penyelewengan & salah guna kuasa.
3- DPPN P.Pinang menyarankan agar Pemuda UMNO P.Pinang memanfaatkan sikap 'peka & prihatin' itu untuk bersama Pakatan Rakyat bg tujuan menyemak perjalanan pentadbiran & kewangan Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri yang dikuasai BN serta menegur jika didapati ada keraguan & penyelewengan.
4- Suka ditegaskan bahawa inilah sebenarnya peranan & fungsi pihak pembangkang dalam sesebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi termasuk di P.Pinang, iaitu sebagai 'semak & imbang' (check & balance) kpd kerajaan yang memerintah.
Tahniah kpd Pemuda UMNO P.Pinang (juga pembangkang di Negeri P.Pinang) yang akhirnya faham juga fungsi pembangkang!
5- DPPN P.Pinang juga mengucapkan tahniah & terima kasih kpd pihak PBA yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri kerana telah menjawab isu ini dengan jelas & telus sekaligus memadamkan api fitnah yang cuba dimainkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Ianya juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri P.Pinang setakat ini mengamalkan konsep CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) spt yg selalu diwar-warkan oleh YAB Ketua Menteri, rakyat P.Pinang berhak berbangga dengan pencapaian tersebut selagi mana ianya dipraktikkan.
Tuntutan perubatan yang dibuat oleh Mohammad Sabu adalah mengikut jumlah resit yang dikeluarkan & berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan. Tiada tuntutan luar biasa seperti yang diberitakan dilakukan kebanyakkan syarikat-syarikat korporat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.
6- DPPN P.Pinang turut mengambil peluang untuk memberi peringatan kepada mana-mana pemimpin kerajaan negeri supaya sentiasa amanah & berhemah menggunakan peruntukan & kemudahan yang diberikan kerana ianya adalah harta rakyat yang akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak.
Sekian.

Salam hormat;
Mohd Yusni Md Piah
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri P.Pinang.
7/9/2011 - 9 Syawal 1432H