Saturday 21 January 2012

Perutusan Tahun Baru Cina Presiden PAS

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 21 Jan 2012

Bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di seluruh dunia minggu ini, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengucapkan selamat menyambut hari kegembiraan tersebut. Perayaan yang turut melibatkan majlis makan besar dalam keluarga besar merupakan satu nilai positif yang juga turut disanjung ajaran Islam. Islam juga menggalakkan hubungan kekeluargaan dipereratkan, malah jika sudah memeluk Islam sekalipun, hubungan kekeluargaan tidak pernah putus khususnya dengan kedua ibu bapa mereka.
Apa yang malangnya ialah pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap. Malah hidup dalam kegelisahan akibat permainan politik perkauman pihak pemerintah. Bahkan hubungan masyarakat Tionghua di Tanah Melayu ini telah wujud seawal pemerintahan kerajaan Islam Melaka melalui hubungan diplomatik Laksamana Cheng Ho dengan kerajaan Melaka.
Masyarakat Tionghua di Malaysia merupakan kelompok kedua terbesar di negara ini dan memberi kesan terhadap politik dan sosial negara. Perubahan yang mereka lakukan dalam pilihanraya ke-12 yang lalu membuka lembaran baru politik negara yang menyentak keselesaan pemerintah di peringkat pusat. Perubahan yang dilakukan adalah untuk melihat negara maju ke hadapan dan keluar daripada politik usang yang menindas, diskriminasi dan zalim kepada rakyat kepada politik yang adil dan saksama sesama rakyat.
Namun ianya belum cukup merubah keseluruhan sistem 'usang' negara dan menginsafkan pemimpin pusat yang terus menerus menindas negeri-negeri dan rakyat. Maka tibalah masanya kita membuat perubahan total diperingkat kerajaan pusat. Maka sekali lagi masyarakat Tionghua adalah penting dalam mengekalkan dan meningkatkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat dan seterusnya bersama membina negara yang adil untuk semua.
PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur. PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.
Gong Xi Fa Cai kepada semua.
Presiden PAS

Bersihkan Malaysia-TGNA

Pada 22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010 yang lalu saya telah merakam suatu pengharapan bersempena dua tahun usia Pakatan Rakyat yang terbina dan mencorakkan politik Malaysia pasca PRU-12.
Mengingati semula apa yang saya tegaskan dalam rakaman pengharapan tersebut, saya ulangi: “Perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam. Malah, Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah-ubah tindakan memfitnah PAS, misalnya menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.”
Atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat.
Pilihan Raya Harmoni
Saya kekal dengan keyakinan bahawa kerjasama politik Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Meskipun di sebalik proses pilihan raya yang berjalan sekarang nampaknya paling tidak adil dan penuh dengan pelbagai spekulasi yang mendera dan menekan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
Justeru, kenangan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 lalu perlu dipersegarkan, meskipun pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib telah menggunakan taktik melengah-lengah menerusi pengisytiharan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ke arah penambahbaikan pilihan raya. Ia suatu usaha yang patut diragui keikhlasannya.
Ia tidak lebih daripada taktik mengalih perhatian umum supaya rakyat tidak menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya dengan proses pilihan raya yang diamalkan selama ini. Apa yang jelas, ia suatu taktik supaya rakyat melupai lapan perkara tuntutan Bersih 2.0!
Maka, sukacita saya rakamkan balik apa yang pernah saya nyatakan sebelum ini iaitu, “tidak ada maknanya pilihan raya diadakan tanpa mengambil kira usaha-usaha pembaharuan pilihan raya, malah mengkebelakangkan lapan tuntutan yang dibangkitkan rakyat…. pilihan raya bersih hanya akan terjelma melalui kertas undi. Maka kalau pilihan raya diadakan dalam keadaan undang-undang dan peraturan yang ada, ia masih menghasilkan pilihan raya yang kotor.”
Bersih 3.0
Atas prinsip dan pemahamaan tersebut, saya berpendapat sikap Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib sekarang ini perlu terus diasak dan dipastikan agar penambahbaikan proses pilihan raya dibuat dalam pilihan raya ke-13 nanti. Ayuh, kita bangkit menggerakkan Bersih 3.0 demi memenuhi pilihan raya yang adil, telus dan bersih.
Bagi PAS, sampai masanya semua bahagian parti dapat menggarap dan meningkatkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat. Kesempatan konvensyen ke-3 ini harus dimanfaatkan semoga hasilnya nanti, agenda Bersih 3.0 akan berjaya.
Ia suatu kerjasama yang pasti memartabatkan lagi Pakatan Rakyat selepas 901–– keadilan untuk Datuk Seri Anwar. Harapnya ia selari dengan firman Allah Subhanahu wa Taala:
Maksudnya, “Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.”
[Surah as-Syura, ayat 41-42]
Semoga kerjasama politik Pakatan Rakyat ini benar-benar memenuhi prinsip tahaluf-siasi dan merupakan kebajikan yang mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Kejayaan Pakatan Rakyat, tertegaknya keadilan di puncak Putrajaya.
Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
20 Safar 1433 bersamaan 14 Januari 2012.
Alor Setar, Kedah Darulaman.

Sunday 23 October 2011

KENYATAAN MEDIA DPPKTITIWANGSA KADAR KEMISKINAN BANDAR SEMAKIN MENINGKAT, SESUATU PERLU DILAKUKAN!

22 Dzu al-Kaedah 1432 / 20 Oktober 2011
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) merasa bimbang dengan peningkatan kadar kemiskinan Bandar di Kuala Lumpur yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tinjauan serta penemuan maklumat hasil dari program turun padang DPPKT ke tengah-tengah masyarakat, didapati kadar kemiskinan bandar semakin bertambah dari tahun ketahun.
Dalam senarai penduduk fakir miskin di sekitar Parlimen Titiwangsa sendiri, DPPKT mendapati tidak kurang 1200 keluarga yang didapati berada dalam keadaan fakir miskin yang perlu dibantu. Daripada senarai tersebut pula, seramai 200 keluarga adalah terdiri daripada keluarga miskin tegar. Berbeza dengan jumlah yang diperolehi oleh DPPKT sebanyak 500 sahaja tahun lepas, ia meningkat sekali ganda tahun ini. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kategori seperti fakir miskin, OKU, ibu tunggal, anak-anak yatim, warga emas, dan lain-lain lagi. Kebanyakan mereka menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lebih malang lagi, ramai mereka terdiri dari bangsa Melayu.
Antara foktor utama mengapa kadar kemiskinan bandar semakin meningkat adalah kerana kos hidup yang semakin meningkat sementara pendapatan rakyat pula khususnya golongan yang berpendapatan rendah tidak meningkat secara ketara. Ada antara mereka yang berpendapatan tidak lebih dari RM 700 sebulan seisi keluarga. Dengan jumlah pendapatan sebanyak ini, DPPKT tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan hidup mereka. Malahan kebanyakan mereka mempunyai anak serta tanggungan yang ramai. Maka tidak mustahil gejala sosial turut meningkat seperti pecah rumah, kecurian, samun, ragut, dadah sehingga kepada pergaulan bebas, perzinaan, rogol dan lain-lain lagi.
Bagi meringkan bebanan hidup ini, DPPKT bersama Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa akan menggerakkan ‘Operasi Ziarah Kasih’ setiap bulan bagi membantu golongan ini. Program yang terdekat akan dibuat adalah pada 22 Oktober 2011, bermula jam 10 pagi bertempat di PPR Jelatek, Kuala Lumpur. Seramai 20 keluarga fakir miskin dan pelbagai kategori lain akan dibantu. Di samping itu, Khidmat Kesihatan Darul Syifa’ juga akan turut sama diadakan di kawasan tersebut. Diharapkan program ini akan lebih membantu warga kota menjalani hidup yang semakin mencabar ini. Bagi mereka yang ingin membantu menjayakan Operasi Ziarah Kasih di Parlimen Titiwangsa setiap bulan, sumbangan amat di alu-alukan dan boleh disalurkan menerusi akaun Dana Kebajikan Pemuda Titiwangsa menerusi Bank Islam Malaysia Berhad : 14041010075226.
Disediakan oleh;
MOHD SHAHIR ABU HASSAN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

Friday 7 October 2011

'Umno, I know who you are' - Nik Aziz

KEPALA BATAS, 1 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak mahu 'terjerumus dua kali' untuk menjalinkan hubungan politik dengan Umno BN.
Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS sudah serik dengan pengkhianatan Umno sewaktu PAS menyertai kerajaan campuran bersama parti itu pada tahun 1973 yang menyaksikan PAS ditendang keluar pada tahun 1977.
"Kita pernah bersama Umno dulu, saya sendiri sokong PAS bersama Umno sehingga PAS waktu itu pecah empat, kemudian PAS ditendang keluar.
"Sekarang (Umno) ajak kami balik, saya kata I know, who you are," katanya pada sidang media di sini.
Mengimbau sejarah perjuangan PAS lalu, Tuan Guru Nik Aziz berkata, Umno melakukan jenayah besar kerana mengharamkan lambang bulan dan bintang pada bendera PAS.
Ditanya apa alasan Umno untuk mengharamkan lambang itu, beliau berkata kerana parti nasionalis itu tidak mahu PAS membawa perjuangan agama.
"Ni kena tanya Umno la. Cuma Umno ni tak mahu ugama, bukan stakat hudud, Islam pun dia tak mahu," katanya.
Ditanya lagi adakah pintu hubungan politik dengan Umno ditutup selama-lamanya, beliau berkata PAS bersama Umno jika parti itu menerima Islam dan meninggalkan perjuangan nasionalis.
"(Nak tutup pintu) Selama-lamanya tak boleh lah. Kita berdoa agar Umno berubah dari nasionalis kepada Islam.
"Sekarang, orang bukan Islam pun terima perjuangan Islam PAS sehingga kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS," ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, tidak mustahil PAS akan datang bukan sahaja menjadi Parti Islam Se-Malaysia, malah akan berkembang menjadi Parti Islam Se-Dunia.
"Sikit lagi Parti Islam Se-Dunia sebab Islam bukan untuk orang Islam sahaja tapi untuk semua, rahmatan lil 'alamin," ujarnya.

Draf Tentatif Ijtima' Tarbawi 2011

Hari Pertama : 28 Oktober 2011
________________________

3.00 - 4.00 pm : Pendaftaran peserta
4.20 - 5.00 pm : Solat Asar dan Al Mathurat
5.15 - 5.45 pm : Taklimat program oleh Pengarah Akademi Tarbiyah
5.50 - 6.30 pm : Urus dan Hemat diri
6.35 - 7.10 pm : Tafakkur dan Munajat
7.15 - 7.30 pm : Solat Maghrib berjamaah
7.35 - 8.30 pm : Kuliah Maghrib

Kuliah Maghrib:
Oleh: Al Fadhil Dato' Dr. Harun Din : Timbalan Mursyidul Aam PAS

8.40 - 8.55 pm : Solat Isyak berjamaah
9.00 - 9.30 pm : Makan Malam

9.40 - 11.40 pm : Majlis Perasmian

Oleh:
YAB Dato' Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat
Yb Salahudin bin Ayub
Ustaz Nasrudin Hassan
Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

12.00 am : Program ditangguhkan dan tidur

HARI KEDUA 29 OKTOBER 2011
____________________________

4.30 - 5.10 am : Qiamullail dan munajat
5.30 - 6.00 am : Solat Subuh berjamaah dan Al Mathurat
6.10 - 6.50 am : Kuliah Subuh:
Oleh: al Fadhil Ustaz Idris Bin Ahmad

7.00 - 8.00 am : Khidmat Diri dan Sarapan Pagi
8.30 - 9.20 am : Taujihat Amal Tarbawi 1:
Oleh: Dr. Mahdi Akif mantan Mursyidul Aam Ikhwanul Muslimeen
9.30 - 10.20 am : Rehat

10.30 - 11.45 am : Pembentangan Kertas Kerja 1: PAS dan Tahaluf Siyasi

Pembentang : Ustaz Nik Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura)
Pengulas : Dato’ Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS)
Pengerusi : Ust Syed Abdul Kader

12.00 - 12.50 pm : Makan Tengahari
1.00 - 1.20 pm : Solat Zuhur berjamaah.

2.00 - 3.30 pm : Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS dalam Lanskap Politik Semasa

Ahli Panel :
Dr. Zuhdi Marzuki : Pengarah Strategi DPP Malaysia
Dr. Abu Hassan,
Ustaz Abu Bakar Chik
Moderator: Dr. Aminurrasyid Yatiban

4.30 - 5.10 pm : Solat Asar berjamaah dan Al Mathurat

5.15 - 6.10 pm : Bina jaringan Ukhuwwah

6.15 - 7.10 pm : Rehat dan Makan Malam

7.15 - 7.30 pm : Solat Maghrib berjamaah

7.35 - 8.35 pm : Kuliah Maghrib:
Oleh : Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

8.40 - 9.00 : Solat Isyak berjamaah

9.30 - 11.30 pm : Ceramah Pentas Pemuda

Penceramah:

Dr. Kamal Al Helbawi
Tuan Haji Muhammad bin Sabu - Timbalan Presiden PAS Pusat
Mahfuz Umar - Naib Presiden PAS
Ustazah Siti Zailah - Ketua Muslimat PAS Malaysia
 Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda DPPM)
Ustaz Riduan Mohamad Nor (ketua Penerangan DPPM) - Pengerusi

12.00am : Program ditangguhkan

HARI KETIGA 30 OKTOBER 2011
_____________________________

4.30 - 5.40 am : Qiamullail dan munajat

5.50 - 6.30 am : Solat Subuh berjamaah dan al Mathurat

6.35 - 7.20 am : Kuliah Subuh:
Oleh : Ustaz Nasharudin Mat Isa - Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat

7.30 - 8.30 am : Khidmat Diri dan Sarapan pagi

9.00 - 10.00 am : Pembentangan Kertas Kerja 2: PAS dan Ijtihad Politik

Pembentang : Ustaz Dr. Khairudin at Takiri
Pengerusi: Dr. Raja Iskandar - Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia

10. 05 - 11.00 am : Rehat

11.05 am - 12.35 pm : Talaqqi Surah As Saff . vol 1
oleh YB. Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

12.40 - 1.30 pm : Makan Tengahari dan Solat Zuhur berjamaah

1.40 - 3.30 pm : Talaqqi Surah As Saff . vol 2
oleh Yb. Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

3.40 - 4.40 pm : Perasmian Penutup:
oleh Ustaz Nasrudin Tantawi , Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz & Dr. Raja Ahmad Iskandar al Hiss.

4.45 pm . Solat Asar berjamaah, Al Mathurat , Doa Wehdah dan Bersurai
 
 

Laungan mahukan hudud bergema di stadium

KOTA BHARU, 7 Okt: Puluhan ribu rakyat Kelantan menyatakan dengan tegas mahukan hukum hudud dilaksanakan di negeri ini, ketika perundangan Islam itu cuba dipertikai sesetengah pihak.
Tanpa tolenrasi lagi mereka melaungkan perkataan mahu hudud berkali-kali. Puluhan ribu rakyat Kelantan berhimpun di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi bagi meluahkan keinginan mereka.
Program yang dinamakan Himpunan Kesyukuran ekoran penerimaan rakyat Kelantan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) membuatkan stadium bola menjadi sesak dengan lautan manusia.

Program bermula jam 5 petang dengan jamuan rakyat. Sebelum itu jam 2 petang diadakan Wacana Pelaksanaan Hudud khusus untuk kakitangan dan pegawai kerajaan negeri bertempat di Kota Darulnaim.
Selain itu selepas solat Asar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil institusi pondok agama dari seluruh Kelantan di JKR 10.
Kemuncaknya solat hajat diimamkan sendiri Menteri Besar di atas padang berbumbung langit berselimut tiupan angin malam selepas solat Isya.
Program itu bermula dengan solat Maghrib, diikuti kuliah agama disampaikan Senator Datuk Dr Johari Mat.
Biar pun malam sebelumnya hujan turun hampir setiap malam, namun malam tadi suasana cerah, seakan-akan membawa doa puluhan ribu rakyat Kelantan mengadap Allah Taala.
Kerajaan dan rakyat Kelantan sudah menunaikan tanggungjawab mereka mendaulatkan hukum Islam sebagaimana dituntut agama, cuma pelaksanaannya terhalang kerana tidak mendapat kerjasama pemerintahan di Putrajaya.
Pakar undang-undang perlembagaan dari UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari melahirkan keyakinan kemenangan besar Angkatan Perpaduan Ummah pada 1990 kerana kemahuan tinggi rakyat Kelantan terhadap hudud.
Oleh itu katanya kejayaan cemerlang itu boleh diulangi pada pilihan raya umum ke-13, apabila rakyat bekerja lebih keras untuk memastikan pelaksanaan perundangan Islam dapat dilaksanakan.
”Sama seperti sistem perbankan Islam yang dicetus pada 1970-an, pada peringkat awal mendapat tentangan hebat. Namun sekarang hampir kesemua institusi kewangan melaksanakan perbankan tanpa riba.
”Begitu juga dengan hudud di mana ada pihak yang menentang dan tidak yakin, namun lambat laun rakyat akan menerimanya.
”Kelantan boleh melaksananya dengan syarat tidak ada pihak yang cuba sabotaj dan menyekat,” katanya pada program berkenaan.
Hadir sama Ketua Pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan wakil-wakil rakyat.
Dr Abdul Aziz juga mencadangkan kerajaan meminda atau menghapuskan Akta Mahkamah Syariah pindaan 1985 bagi membolehkan perundangan hudud dilaksanakan.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata, rakyat Kelantan memilih PAS sejak 1990 sehingga sekarang kerana mereka yakin kerajaan yang ada sekarang bertanggungjawab terhadap amanah Allah.
Bagaimanapun beliau melahirkan rasa hairan pemimpin Umno yang juga beragama Islam tidak bersetuju terhadap hukum tersebut.
”Kalau pemimpin DAP tidak bersetuju ia tidak menjadi persoalan sangat kerana mereka bukan beragama Islam,” ujarnya.
Anwar menegaskan setiap seorang Islam wajib mempunyai keyakinan terhadap perundangan Islam tanpa kompromi lagi.
Menurutnya negara sudah lama merdeka, namun kefahaman rakyat terhadap agama semakin bercelaru kerana tomahan dimainkan media massa.

Saturday 17 September 2011

Mohon Maaf, Bayar Pampasan dan Tutup Kem Kemunting-Kp Pusat

Jumaat, 16 September 2011 16:11 Nasrudin Hassan 

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia
18 Syawal 1432 / 16 September 2011
Mohon Maaf, Bayar Pampasan dan Tutup Kem Kemunting.
Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Mengasihani. Setelah sekian lama PAS berjuang dan kini bersama Pakatan Rakyat, menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pemerintahan negara terutama tuntutan supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA], kini hampir menjadi kenyataan setelah ramai pimpinan PAS dan aktivisnya terpaksa merengkok dalam tahanan kejam tanpa bicara itu, semata - mata kerana persaingan politik yang tidak matang.

Saya tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah mengisytiharkan komitmennya untuk memansuhkan ISA sebentar tadi, biarpun UMNO dan BN telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami betapa kejam dan zalimnya undang - undang ISA ini ke atas makhluk yang bergelar insan. Sementara PAS telah menentang ISA sejak hari pertama ia dibentang dan diluluskan di Parlimen justeru ia bertentangan dengan semangat keadilan yang dianjurkan oleh syariat Islam.

Sejurus mendengar pengisytiharan Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ini, hampir mengalir air mata saya mengenang penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh bekas tahanan ISA sebelum ini. Alangkah jika ISA dimansuhkan sejak komunis menyerah diri dan membubarkan parti serta perjuangan mereka tempoh silam. Pastinya mereka tidak perlu menderita dan sengsara hanya kerana dendam politik sang pemerintah.

Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mesti mengotakan komitmennya dengan membentangkan secara rasmi Kertas pemansuhan ISA ini di dalam Parlimen yang akan bersidang awal bulan depan dan disokong pula oleh keseluruhan Ahli Parlimen UMNO dan BN sekaligus mengusulkan penutupan Kem Kemunting dengan membawa semua tahanan yang masih ada kemuka pengadilan untuk diadili mengikut proses undang - undang negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan Kerajaan UMNO dan BN pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak juga mestilah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada semua mangsa - mangsa tahanan ISA dan keluarga mereka yang terpaksa mengalami penderitaan dan trauma yang teruk akibat akta draconian ini.[ISA]

Alhamdulillah, Sekali lagi saya lafazkan rasa syukur kepada Allah swt. berikutan komitmen yang diberi oleh YAB Perdana Menteri untuk turut mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Subjek yang diumum dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan jurus - jurus kecil dari pelan induk Reformasi yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat khasnya melalui Buku Jingganya sebelum ini. Demikian juga apa yang ditawarkan oleh PAS menerusi Dokumen Negara Berkebajikan. Tidak mengapalah siapa pun yang melaksanakannya asal ia membawa kebaikan kepada rakyat. Namun Kerajaan UMNO dan BN mesti sedar dan insaf, bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu direformasikan secara menyeluruh. Tidak memadai YAB Perdana Menteri pancing sokongan pengundi dengan hanya membuat beberapa perubahan atau pindaan yang bersifat jurus - jurus kecil sedang masaalah pokok masih tergantung diawangan.

Masaalah pokok yang saya maksudkan di sini ialah pemulihan sistem demokrasi yang adil dan ketelusan sistem pengurusan pilihanraya . Tiada erti perubahan itu dilakukan sedang hak pengundi untuk mengundi secara adil, telus dan saksama ternafi atau dinafikan dengan pincangnya sistem demokrasi dan selewengnya pengurusan pilihanraya.
Hari ini, negara masih berdepan dengan pelbagai bentuk kekeliruan dan keraguan yang timbul dari daftar pemilih, corak pengendalian pilihanraya, identiti pengundi, mykad palsu, pengundi klon dan undi pos sebagaimana yang didedahkan oleh DPP Malaysia, malah ianya masih gagal dijawab dengan jawapan yang meyakinkan oleh pengendali pilihanraya iaitu SPR mahupun kerajaan sendiri.

Ketelusan sistem pengurusan pilihanraya menjadi perkara terpenting setelah dilihat kepada usaha YAB Perdana Menteri cuba melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mahu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila dilihat program dan subjeknya serupa, maka rakyat perlu kepada keadilan dan ketelusan untuk memilih siapakah yang lebih layak untuk menjadi kerajaan atau pemimpin bagi melaksanakan program reformasi negara tersebut.

Apa yang pasti, kini Pakatan Rakyat telah dilihat mampu memimpin dan memerintah. Tiada siapa boleh menafikannya lagi setelah banyak idea dan program reformasi negara yang dicadang oleh Pakatan Rakyat kini dilaksanakan oleh kerajaan UMNO dan BN.

Saya sendiri bertambah yakin. Bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil alih teraju kepimpinan negara, kerana rakyat kini beralih perhatian untuk memilih siapa yang paling layak memimpin dan memerintah setelah dilihat idea dan program perubahan hampir serupa dari kedua - dua parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah rakyat tahu siapa yang menggerakkan program dan idea perubahan tersebut.

Ertinya selepas ini nilai integriti, akhlak pemimpin, kecerdasan dan karisma kepimpinan akan menjadi nilai fokus pada pengundi untuk diberi mandat kepimpinan negara, kerana tiada erti diserahkan urusan pemerintahan kepada manusia yang rosak nilai integriti, rasuah dan tidak diyakini kewibawaannya. Justeru itu, berikan ruang secukup dan seadilnya untuk rakyat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan dan ugutan jua tanpa sebarang manipulasi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya, pengumuman YAB Perdana Menteri malam ini adalah isyarat gendang tari pilihanraya telah dipalu. Pemuda PAS secara asasnya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya di adakan pada bila - bila masa secara spiritual, mental, material dan fizikal. Pembentangan belanjawan pada bulan hadapan juga pastinya akan dijadikan belanjawan pilihanraya seperti lazimnya dan akan banyaklah tawaran - tawaran dikemukakan kepada rakyat terutama rakyat marhaen dan menengah.

Kini DPP Malaysia telah memasuki gear lima untuk terus meluncur dengan persiapan dan gerakkerjanya ke arah memenangi pilihanraya umum ke 13 insyaallah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia